Jemaat-jemaat Allah Al Maséhi

[096]

 

 

 

Perbezaan Di Dalam Hukum [096]

(Edisi 2.0 19950318-19990614)

 

Karya ini mengkaji perbezaan di antara hukum moral dan hukum korban. Perbezaannya membentuk sebahagian daripada dasar aktiviti-aktiviti di dalam Kejadian. Karya ini membincangkan aspek-aspek lebih luas berkenaan hukum-hukum Tuhan. Perbezaan-perbezaan khusus yang dibuat oleh para Pembaharu (Reformers) disenaraikan sebagai artikel-artikel keimanan daripada Konvensyen Helvetic Kedua melalui Tiga puluh sembilan Artikel milik Jemaat England tahun 1571 dan lain-lain artikel Reformasi yang penting sehinggalah pada Artikel-artikel Agama Methodist tahun 1784. Pernyataan-pernyataan itu masing-masingnya adalah penting.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 1995, 1999  Wade Cox)

(Tr. 2003)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org

 

Perbezaan Di Dalam Hukum [096]

 


Beberapa elemen Kekristianan moden cuba untuk menegaskan bahawa hukum itu telah dihapuskan, daripada salahfaham Surat-surat Paulus di dalam Perjanjian Baru. Penegasan ini tidak betul. Pandangan ini terbentuk kerana suatu salahfaham tentang apa yang dihapuskan oleh pengorbanan Kristus dan telah dipakukan kepada stauros, tiang atau salib Kolose 2:14. Kristus telah membatalkan penulisan/surat hutang (cheirographon) ketetapan-ketetapan yang mengancam kita (atau, bertentangan dengan kita; sila lihat versi Marshall’s Interlinear RSV) dengan tuntutan-tuntutannya. Ia telah dihapuskan dengan memakukannya kepada stauros itu.

 

Jadi apakah dia surat hutang itu? Apakah yang telah disingkirkan oleh korban Kristus?

 

Pastinya ia bukan hukum Tuhan. Perbezaan yang dibuat oleh para rasul menunjukkan bahawa perintah-perintah yang dibuat Tuhan adalah penting (lihat bawah). Cheirographon merupakan suatu dokumen hutang. Daripada penggunaan perkataan Yunani dogmasin, ianya suatu sistem peraturan iaitu hukum Musa (daripada Efesus 2:15). Perkaitan antara Tuhan dengan HukumNya adalah penting.


 

Tuhan adalah:                                                               HukumNya adalah:                  

Benar (Ezra 9:15)                                                         Benar (Mazmur 119:172)

Sempurna (Matius 5:48)                                               Sempurna (Mazmur 19:7)

Kudus (Imamat 19:2)                                                    Kudus (Mazmur 7:12)

Baik (Mazmur 34:8)                                                     Baik (Roma 7:12)

Kebenaran (Ulangan 32:4)                                            Kebenaran (Mazmur 119:142)

 


Tuhan tidak pernah berubah. Begitu juga dengan Kristus yang tetap sama dahulunya, hari ini dan hari kemudiannya (Ibrani 13:8) kerana dia memiliki sifat ilahi itu sepenuhnya (Kolose 1:19; 2:9). Hukum itu mempunyai ciri-ciri penting Tuhan, yang terbit daripada sifatNya sendiri, dan tertulis pada hati umat-umat pilihan. Hukum itu adil, benar dan baik (Nehemia 9:13). Umat-umat pilihan disunat pada hati mereka kerana mengambil bahagian di dalam sifat/kodrat ilahi itu (2 Petrus 1:4) dan berusaha untuk mencapai seluruh kepenuhan (pleroma) Tuhan (Efesus 3:19) seperti Kristus. Semua yang lain diwajibkan memelihara hukum-hukum Tuhan. Mereka dihukum kerana tidak berubah (KJV), dalam ertikata lain, mereka tidak memelihara sebarang hukum (RSV: Mazmur 55:19). Berbahagialah mereka yang berjalan di dalam hukum Tuhan (Mazmur 119:1). Hukum itu digenapi di dalam kita yang berjalan menurut roh (Roma 8:4). Bukannya para pendengar hukum yang benar tetapi mereka yang menurutnya (Roma 2:13).

 

Pemeliharaan perintah-perintah Tuhan adalah penting bagi kasih dan pengetahuan Tuhan (1 Yohanes 2:3,4; 3:22; 5:3) dan Kristus (Yohanes 14:15, 21) serta penerimaan dan pengekalan Roh Kudus (Yohanes 14:21; 1Yohanes 3:24; Kisah 5:32) serta berkat rahmat Tuhan (Wahyu 22:14). Pelanggaran atau pelonggaran, atau mengajar untuk melonggarkan atau melanggar perintah-perintah itu, adalah dilarang oleh Kristus (Matius 5:19).

 

Matius 5:19 Karena itu siapa yang meniadakan salah satu perintah hukum Taurat sekalipun yang paling kecil, dan mengajarkannya demikian kepada orang lain, ia akan menduduki tempat yang paling rendah di dalam Kerajaan Sorga; tetapi siapa yang melakukan dan mengajarkan segala perintah-perintah hukum Taurat, ia akan menduduki tempat yang tinggi di dalam Kerajaan Sorga.

 

Hakikatnya, Paulus sedang berbicara di dalam teks-teks itu berkenaan bukan saja dua badan hukum, tetapi juga satu karya ketiga yang telah hilang selama beberapa abad. Karya tersebut dipanggilnya sebagai ergon nomou atau terjemahannya Pekerjaan-pekerjaan Hukum yang sebenarnya suatu badan teks yang lain, yang telah hilang selama hampir dua ribu tahun. Ianya telah ditemui di antara Skrol-skrol Laut Mati (DSS) dan dikaji di dalam karya Teks Pekerjaan Hukum - atau MMT [104] (Cox, CCG, 1995).

 

Paulus mengajar bahawa sunat atau tidak, adalah tidak penting melainkan pemeliharaan perintah-perintah Tuhan (1Korintus 7:19). Jadi tidak mungkin dia bercanggah dengan dirinya sendiri di dalam Kolose atau Galatia (contohnya Galatia 3:10). Oleh itu, dia sebenarnya berbicara mengenai dua badan hukum.

 

Dengan itu, hukum yang telah digenapi Kristus di Kalvari sepatutnya adalah jenis yang tidak diubah tetapi yang digenapi. Pembezaan yang biasa dilakukan adalah antara Hukum Moral dan Hukum Upacara. Hukum Moral diperkatakan sebagai Hukum Bersepuluh. Apa yang dipanggil sebagai Hukum Upacara itu disebutkan sebagai Hukum Musa. Pembezaan ini akan didapati tidak mencukupi. Teks berkenaan Pekerjaan-pekerjaan Hukum itu menunjukkan satu bahagian utama salahfaham yang menghapuskan posisi antinomian agama Kristian moden. Perbezaan itu menjadi lebih jelas lagi dengan perbandingan berikut:


 

 

Decalogue (Hukum Bersepuluh) itu

Hukum Korban atau Upacara itu

1.     Diberikan Tuhan melalui Malaikat itu di Sinai (Keluaran 20:1, 22; Ulangan 4:12; 13; 5:22);

 

 

2.     Ditulis oleh Yahovah (Keluaran 31:18; 32:16);

 

3.     Ditulis di atas batu-batu (Keluaran 24:12; 31:18);

 

 

4.     Diserahkan Yahovah kepada Musa (Keluaran 31:18);

 

5.     Dimasukkan Musa ke dalam tabut perjanjian (Ulangan 10:5);

1.     Disebutkan oleh YHVH; ditulis oleh Musa (Keluaran 24:3,4,12). Diberikan sebagai tambahan kepada perintah-perintah itu (Keluaran 24:12);

 

2.     Ditulis oleh Musa (Keluaran 24:4; Ulangan 31:9);

 

3.     Ditulis di dalam satu buku (Keluaran 24:4,7; Ulangan 31:24);

 

4.     Diserahkan Musa kepada golongan Lewi (Ulangan 31:25, 26);

 

5.     Diletakkan oleh para Lewi di tepi tabut perjanjian (Ulangan 31:26) di mana ia menjadi satu saksi terhadap Israel.

 

Decalogue itu

Hukum Korban atau Upacara itu

6.     adalah berkenaan peraturan-peraturan moral (Keluaran 20:3-17);

 

 

7.     memperlihatkan dosa (Roma 7:7);

 

 

8.     menunjukkan bahawa pelanggaran hukum itu adalah dosa (1 Yohanes 3:4) dan upah dosa adalah maut (Roma 6:23);

 

 

9.     Kita harus memelihara seluruh hukum itu (Yakobus 2:10); kita janganlah melanggar walau perintah yang paling kecilpun (Matius 5:19)

 

10.   kerana kita akan diadili dengan hukum ini (Yakobus 2:12);

 

11.   Umat Kristian yang memelihara hukum ini berbahagia di dalam perbuatannya (Yakobus 1:25);

 

12.   Ianya hukum kemerdekaan yang sempurna (Yakobus 1:25; bandingkan Yakobus 2:12) kerana hukum itu sempurna (Mazmur 19:7);

 

13.   Hukum ini diteguhkan dengan iman di dalam Kristus (Roma 3:31) ianya tidak dihapuskan (Matius 5:17);

 

14.   Kristus memberi pengajaran-Nya yang besar dan mulia (Yesaya 42:21);

 

 

15.   Kita tahu bahawa hukum itu adalah rohani (Roma 7:14 banding ayat 7).

6.     adalah berkenaan hal-hal upacara istiadat (daripada penggunaannya di dalam Keluaran, Imamat, Bilangan dan Ulangan);

 

7.     mengesyorkan persembahan-persembahan bagi dosa-dosa (lihat Imamat);

 

8.     tidak mengakibatkan dosa apabila dilanggar kerana ia telah dihapuskan (Efesus 2:15) jadi di mana tiadanya hukum maka tiadanya pelanggaran (Roma 4:15).

 

9.     Para rasul tidak pernah memberi perintah (arahan atau seruan; diesteilametha) untuk memelihara hukum ini (Kisah 15:24);

 

10.   Kita seharusnya tidak dihakimi di dalam pemeliharaannya (Kolose 2:16);

 

11.   Kita bukannya dibenarkan oleh hukum itu tetapi oleh iman (Galatia 5:1-6);

 

 

12.   Kemerdekaan datang daripada iman dan bukannya dari pembenaran oleh hukum (Galatia 5:1,3);

 

13.   Kristus telah membatalkan hukum itu (Efesus 2:15); hutangnya (Kolose 2:14); dan strukturnya (Galatia 3:19).

 

14.   Kristus telah menghapuskan surat hutang, yang oleh ketentuan-ketentuan hukum mendakwa dan mengancam kita (Kolose 2:14);

 

15.   Hukum ini adalah suatu peraturan manusia (Ibrani 7:16). Tuhan terpaksa memberikan mereka ketetapan-ketetapan yang sukar dan peraturan-peraturan, yang tanpanya mereka tidak dapat hidup kerana kecemaran mereka (Yehezkiel 20:25). Hukum ini tidak menyempurnakan.

 


Struktur jasmani hukum korban itu serta simbol-simbol fizikalnya perlu diulang setiap tahun sehinggalah Kristus menebus dosa-dosa kita sekali dan bagi semua.

 

Hukum Korban itu perlu disingkirkan sepenuhnya agar kita dapat meningkatkan hubungan kita dengan Tuhan kepada suatu tahap rohani sepenuhnya. Hanya melalui Kristus dan karunia Roh Kudus barulah ini dapat dilaksanakan kerana kita sendiri adalah korban-korban hidup sistem ini di mana kita menyerahkan diri kita masing-masing kepada satu sama lain di dalam kasih.

 

Decalogue tersebut menghuraikan kedua Perintah Terbesar itu dan daripada mana seluruh Hukum dan Para Nabi bergantung (rujuk karya Perintah Utama yang Pertama [252] dan Perintah Utama yang Kedua [257]).

 

Dengan itu, terdapatnya suatu pembezaan di dalam hukum dan bahawa pembezaan itu jelas sekali menyokong hukum moral itu. Hukum moral Tuhan adalah bersifat rohani, sempurna sebagaimana ia diteguhkan, diberi hormat dan diperbesarkan oleh Kristus, dengan iman, dan memberikan kemerdekaan.

 

Ianya ditulis oleh jari Tuhan dan dipanggil sebagai hukum Diraja (Keluaran 31:18; Yakobus 2:8). Kita diadili dengan hukum itu, yang Kristus telah perluaskan di dalam maksudnya. Oleh itu, nafsu disamakan dengan berzina. Seluruh hukum itu lebih besar, bukannya lebih kecil, di dalam kesannya terhadap mereka yang benar. Para nabi menggambarkan hukum moral itu sepertimana ia terkandung di dalam Dua Perintah Utama dan Hukum Bersepuluh yang menghuraikannya. Dengan itu, apa yang dipanggil sebagai Hukum Upacara itu sebenarnya terbahagi lagi kepada Hukum Korban dan komentar perundangan yang menafsirkan Hukum Moral itu. Kegagalan untuk memahami perbezaan ini adalah kesilapan asas agama Kristian Moden yang berciri antinomian dan Gnostik. Agama Kristian silap di dalam usahanya untuk menghapuskan hukum Tuhan daripada salahfaham terhadap teks-teks Paulus dan rujukan-rujukan terhadap Ergon Nomou atau Pekerjaan-pekerjaan Hukum. Dengan membuat kesimpulan ini serta memasukkan seluruh aspek Pentateuch ke dalam apa yang disebutkan sebagai Hukum Upacara, mereka dapat menarik suku-suku pagan dan memperkenalkan sistem-sistem kultus Matahari serta Misteri-misteri itu. Hari Sabat dapat diubah kepada hari Minggu dan sistem Easter dapat menggantikan Paskah.

 

Pemeliharaan perintah-perintah Tuhan serta kesaksian Yesus Kristus adalah mustahak untuk mewarisi pokok kehidupan seperti yang kita lihat daripada Wahyu 14:12 dan 22:14. Hukum perintah-perintah  yang terkandung di dalam ketetapan-ketetapan (Efesus 2:15; Kolose 2:14) merupakan bayangan hal-hal yang akan datang (Ibrani 10:1) dan telah dibatalkan kerana kelemahannya serta tidak berguna (Ibrani 7:18; 10:3). Ia diberikan kerana wujudnya pelanggaran-pelanggaran dan disampaikan dengan perantaraan malaikat-malaikat ke dalam tangan seorang pengantara (Galatia 3:19). Oleh itu, apa yang kita ada di sini adalah suatu sistem penebusan di bawah Hukum Korban itu, yang diperlukan kerana kita terus gagal untuk menurut struktur serta maksud sebenar hukum itu. Untuk sebab inilah Penyunatan pada orang dewasa yang telah dibaptiskan menjadi suatu tanda fizikal yang mengenalpastinya sebagai anggota suatu bangsa yang bersifat rohani dan yang melampaui batas-batas bangsa fizikal. Kerana itu ia tidak berguna tanpa aspek-aspek rohani individu tersebut (rujuk karya Pentahiran dan Penyunatan [251]).

 

Mitos seterusnya adalah bahawa hukum itu telah ditubuhkan di Sinai. Hukum Moral Tuhan bukannya ditubuhkan di Sinai. Ia telah wujud daripada penciptaan yang terbit daripada sifat Tuhan. Dosa telah wujud sebelum hukum itu diberikan kepada Musa (Roma 5:13) jadi akibat-akibat hukum itu sudahpun diketahui sejak zaman Adam, kerana dosa tidak dikira jika tidak adanya hukum. Di mana dosa bertambah banyak di bawah hukum, dari Sinai, di sana kasih karunia menjadi berlimpah-limpah (Roma 5:15-21). Dosa bertentangan dengan sifat Tuhan (Mazmur 51:4).

 

Iblis telah berdosa kerana memberontak melawan Tuhan dan dengan berdusta kepada Hawa tanpa menurut kehendak Tuhan, dan dengan itu merompak mahkota-mahkota mereka serta kasih sayang yang sepatutnya ditujukan kepada Tuhan. Iblis telah melanggar perintah pertama, kelima, keenam, kelapan, kesembilan dan kesepuluh (Kejadian 3:1-4; Yesaya 14:13-14; Yehezkiel 28:2-10). Kemudiannya Iblis telah membentuk gambar-gambar fizikal para iblis, lantas menjadikan mereka objek-objek ibadah dan mencemari nama Tuhan dengan melanggar perintah-perintah kedua dan ketiga.

 

Pada zaman Kristus, ianya jelas diketahui bahawa Iblis dan para iblisnya telah meninggalkan kediaman pertama mereka, berbuat zina dengan anak-anak perempuan manusia, lalu melanggar perintah ketujuh (Kejadian 6:4; 1 Korintus 11:10; Yudas 6; lihat khususnya New English Bible untuk ungkapan lebih jelas bagi Yudas 6; lihat juga DSS (Skrol-skrol Laut Mati), Genesis Apocryphon dan 1 Henokh). Melalui sistem-sistem agama palsu, Iblis dan para iblisnya telah menyerang perintah keempat. Dengan itu, hukum itu merupakan suatu perhubungan teori antara entiti-entiti bukan fizikal dan juga entiti-entiti fizikal. Maka ia berciri rohani sedangkan manusia berciri daging dan terjual di bawah kuasa dosa (Roma 7:7,14) seperti juga para iblis yang telah terpisah daripada Tuhan. Mereka yang telah percaya, bahagia dengan hukum Tuhan di dalam diri mereka (Mazmur 119:1 dan seterusnya; Roma 7:22). Mereka bukannya daging, tetapi rohani sebagai Anak-anak Tuhan (Roma 8:9-17).

 

Manusia telah berdosa melalui pelanggaran perintah-peintah pertama, kedua, kelapan dan kesepuluh di dalam Taman Eden (Kejadian 3:17) (rujuk juga karya Doktrin Dosa Asal Bahagian 1 Taman Eden [246] serta Doktrin Dosa Asal Bahagian 2 Generasi-generasi Adam [248]).

 

Kain berdosa dan telah melanggar perintah keenam dan kesepuluh apabila dia membunuh saudaranya Habel (Kejadian 4:7-8). Kain dan Habel mewakili Kristus dan Iblis di dalam Angkatan surgawi. Persembahan korban Habel lebih diterima Tuhan kerana ia melambangkan pengorbanan peribadi Kristus dan bukannya hasil yang didapati Kain dengan memaksa tanah bumi. Simbol-simbolnya adalah rohani (rujuk karya Vegetarianisme dan Alkitab [183]).

 

Nefilim telah berdosa dengan membunuh dan mengganas sebelum banjir itu dan Tuhan telah mengadili serta menghapuskan mereka (Kejadian 6:4-5, 11-13).

 

Henokh menerima perhentian Tuhan melalui kebenaran yang positif, lantas memperlihatkan sistem Sabat itu (Kejadian 5:22-24) (rujuk juga karya Saksi-saksi [135] untuk maklumat lanjut mengenai Henokh). Seluruh penciptaan teguh sebagai saksi positif kepada Sabat dan sistem-sistem hari Suci (Kejadian 1:1-2:3). Melalui musim-musim menuai, mereka mencerminkan rencana Tuhan daripada seluruh penciptaan.

 

Hem, atau mungkin Kanaan, telah melanggar perintah kelima dengan tidak menghormati Nuh (Kejadian 9:20-27). Komentar Soncino menunjukkan adanya perbezaan pendapat di kalangan pihak-pihak atasan berkenaan sama ada Hem atau Kanaan yang bersalah atau tidak, dan sama ada kesalahan itu membabitkan pengasian atau satu perbuatan hina (Soncino: Rashi, Sforno).

 

Firaun berdosa dengan mengambil Sara untuk berzina dan telah melanggar perintah ketujuh sungguhpun dia tidak sedar akan kesalahannya itu disebabkan penipuan Abraham yang juga berdosa dengan berbuat saksi dusta dan melanggar perintah kesembilan. Dia telah melanggar perintah ketujuh kerana telah menghantar isterinya ke dalam perhambaan kepada suatu hubungan zina (Kejadian 12:15-20). Keturunannya telah dihukum dengan perhambaan di Mesir selama empat ratus tahun (Kejadian 15:3). Maka, dua prinsip ditetapkan di sini. Pertama adalah kejahilan terhadap perintah-perintah Tuhan tidak boleh dijadikan alasan. Kedua, umat-umat pilihan dipertanggungjawabkan kerana menyebabkan bangsa-bangsa tersandung; atau kerana gagal untuk memberi amaran kepada mereka (Yehezkiel 33:1-6).

 

Begitu juga Abimelekh telah melanggar hukum itu disebabkan penipuan Abraham. Kali ini Tuhan telah campur tangan (menyelamatkan Israel), kerana Abimelekh belum lagi mendekati Sara. Namun begitu, dia diingatkan bahawa dia menghadapi matu, kerana dia telah mengambil isteri kepada seorang yang lain (Kejadian 20:3-4).

 

Kedua-dua Firaun dan Abimelekh menyedari sepenuhnya bahawa mereka telah melanggar hukum Allah yang Mahatinggi. Dengan itu, pemberian hukum itu kepada Israel di Sinai bertujuan untuk mengukuhkan hukum (moral) Tuhan serta menyediakan ketetapan-ketetapan tambahan untuk kegunaan pemerintahan Israel, dan untuk bagi menunjuk ke arah Kristus.

 

Abraham disokong Tuhan di dalam peperangan melawan para bangsa berikutan serangan ke atas kota-kota kawasan tersebut kerana mereka telah melanggar perintah keenam dan kelapan, sungguhpun tindakan mereka itu membabitkan kota-kota Sodom dan Gomora yang memang diancam pembinasaan (Kejadian 14:11-24). Kesimpulannya, Tuhan bukanlah seorang yang memandang muka/bulu/pilih kasih (Ulangan 1:17; 16:19; 2 Samuel 14:14; 2 Tawarikh 19:7; Amsal 24:23; 28:21; Roma 2:11; Efesus 6:9; Kolose 3:25; Yakobus 2:1); (rujuk karya Sikap Pilih Kasih [221]).

 

Ayub juga tidak ingin berdosa dengan melanggar perintah ketiga dengan menuduh Tuhan dan mati kerananya (Ayub 1:22; 2:9-10). Ayub disahkan telah wujud sebelum pemberian hukum itu di Sinai. Jadi konsep dosa (Ayub 2:10) juga mendahului peristiwa di Sinai itu.

 

Esau gagal untuk hormat pada bapanya dengan menjual hak kesulungannya kepada Yakub yang menggantinya (Kejadian 25:31-34), lantas melanggar perintah kelima. Oleh kerana perintah kelima itu adalah perintah pertama yang mengandungi janji, maka kehilangan hak kesulungan terjadi sebagai hukumannya. Jadi, Tuhan telah campur tangan di dalam hal ini demi mengekalkan prinsip ini sungguhpun Yakub telah melanggar perintah kesepuluh, dan akan melanggar perintah kesembilan.

 

Musa dijadikan seorang elohim bagi Firaun (Keluaran 4:16; 7:1) kerana Mesir telah melanggar perintah-perintah itu.

 

Mereka yang telah berdosa berasingan daripada hukum itu adalah mereka yang tidak memiliki bentuk asas hukum itu. Dosa telah wujud sebelum Sinai namun tanpa hukum dosa itu mati (Roma 7:8). Paulus seolah-olah mengatakan bahawa kejahilan memberikan kemerdekaan, daripada pernyataan bahawa dia dulunya hidup (kerana) terasing daripada hukum itu tetapi perintah itu telah datang, dosa muncul, dan dia mati (Roma 7:9). Jelas sekali seluruh badan hukum itu berkuatkuasa pada waktu dia menulis teks ini. Sememangnya tiada apa-apa yang telah dibatalkan pada masa ini. Perjanjian Baru itu belum lagi mengambil alih yang Lama pada waktu kebanyakan Kitab Perjanjian Baru ditulis.

 

Ibrani 8:13 Oleh karena Ia berkata-kata tentang perjanjian yang baru, Ia menyatakan yang pertama sebagai perjanjian yang telah menjadi tua. Dan apa yang telah menjadi tua dan usang, telah dekat kepada kemusnahannya.

 

Ianya sedia untuk lenyap dan akan hilang tidak lama kemudian. Jalan ke dalam tempat maha kudus belum lagi tersedia.

 

Ibrani 9:8 8 Dengan ini Roh Kudus menyatakan, bahwa jalan ke tempat yang kudus itu belum terbuka, selama kemah yang pertama itu masih ada.

 

Jalan tersebut hanya akan terbuka dengan pembinasaan bait tersebut pada tahun 70 TM dan dengan penyelerakan Yehuda. Ini merupakan maksud lebih besar Tanda Yunus serta nubuatan tujuh puluh minggu tahun di dalam Daniel 9:25 (lihat karya Tanda Yunus dan Sejarah Pembangunan Semula Bait Suci [013]), yang menunjukkan tamatnya yang Lama dan mulanya Perjanjian yang Baru. Dengan itu, Perjanjian Baru tersebut berkait dengan hukum korban yang hanya dapat dilenyapkan bersama-sama dengan bait tersebut. Perjanjian Baru merupakan pembatalan ketetapan-ketetapan korban, bukannya penghapusan hukum taurat itu.

 

Aspek-aspek lebih luas Hukum-hukum Tuhan

 

Pendapat bahawa Hukum Bersepuluh adalah satu-satunya bahagian Hukum Tuhan, di bawah tajuk Hukum Moral, yang telah wujud sebelum Sinai adalah tidak betul.

 

Hukum Bersepuluh merupakan kepala-kepala Hukum itu yang terkandung di dalam Dua Perintah Utama Pertama dan yang telah dikembangkan secara keseluruhannya melalui Hukum serta pengajaran Para Nabi.

 

Hukum-hukum pemakanan telah wujud sebelum banjir itu. Perbezaan antara binatang-binatang yang haram dan yang tidak telahpun diketahui oleh Nuh dan dijelaskan Tuhan di dalam arahanNya mengenai pembinaan bahtera itu (Kejadian 7:2-3). Dengan itu, hukum-hukum pemakanan telahpun dibuat sejak penciptaan. Pengasingan-pengasingannya telah dibuat dan terlihat ada pada zaman Adam melalui Habel (lihat atas). Hujah bahawa hukum-hukum pemakanan ini adalah dipelihara oleh umat Yahudi, memperlihatkan kejahilan yang ketara di dalam dasar saintifik dan alam sekitar di sebalik hukum-hukum pemakanan itu dan tempatnya di dalam penciptaan (lihat karya Hukum-hukum Pemakanan [015]).

 

Begitu juga, pendapat bahawa hukum-hukum persepuluhan terikat kepada hukum-hukum korban yang diberikan di Sinai adalah salah. Abraham memberi persepuluhan kepada Melkisedek dari Salem lebih kurang empat ratus tahun sebelum hukum itu diberikan di Sinai (Kejadian 14:18-20) (rujuk karya Pemberian Persepuluhan [161]).

 

Jadi, terdapat suatu aspek berterusan hukum itu yang melanjut di luar batas-batas khusus Decalogue dan meliputi aspek-aspek pengaturan kehidupan seharian Israel dan planet ini. Mesias akan menubuhkan struktur dunia pada penghujung zaman ini dan dengan itu akan mendirikan semula Sabat-sabat, Bulan-bulan Baru (Yesaya 66:20) dan Perayaan-perayaan itu (Zakharia 14:16-19; lihat juga Yehezkiel 45:1 dan selanjutnya serta 46:1 dan seterusnya). Dengan itu Imamat 23 mempunyai kesan yang berterusan dan para bangsa akan terpaksa memelihara hukum itu.

 

Kristus tetap sama dahulu, hari ini dan esoknya (Ibrani 13:8) jadi dia tidak akan mengubah syarat-syarat hari-hari suci itu yang akan dikenakannya ke atas orang-orang. Begitu juga, para bangsa diwajibkan memelihara tahun-tahun Sabat tanah, dan kawasan-kawasan tanah itu akan diberikan sabatnya/rehatnya kerana kegagalan untuk memelihara hukum-hukum fizikal ini. Pertalian antara hukum dan akibatnya akan dipulihkan.

 

Dengan itu, terdapatnya perbezaan jelas antara hukum-hukum Tuhan dengan hukum yang telah dibatalkan Kristus. Ia hanya mungkin adalah Hukum Korban dengan kewajipan-kewajipan upacaranya. Ketetapan-ketetapan korban itu tidak mengatur Sabat-sabat yang penting kepada Decalogue. Mereka sekadar menentukan apa yang dilakukan pada hari-hari Sabat sewaktu zaman Bait Suci itu sebagai suatu pendahuluan dan gambaran kepada kedatangan Mesias dan pendirian suatu sistem yang baru. Oleh itu, Sabat-sabat tidak dibatalkan bersama dengan kematian Mesias. Sabat-sabat itu menjadi lebih penting lagi dengan penubuhan jemaat yang ditandakannya. Sistem ibadah hari Minggu terbit daripada sistem pagan dan kultus-kultus matahari dan tiada kaitan langsung dengan agama Kristian (bandingkan juga dengan karya Asal-usul Krismas dan Easter [235]).

 

Pemahaman tentang adanya perbezaan di dalam hukum di antara Decalogue dan Hukum Korban, sudah agak lama dan adalah agak bermakna. Para Pembaharu (Reformer) cukup jelas di dalam perbezaan tersebut. Suatu senarai banyak deklarasi untuk tujuan ini boleh dilihat di dalam karya Penerbitan Seventh Day Adventist Questions on Doctrine, Review and Herald Publishing, 1957, (mukasurat 131 dan seterusnya). Ini adalah:

 

Pengakuan Helvetic Kedua (1566), milik Reformed Church di Zurich, dan salah satu daripada simbol Kontinental yang paling berkuasa (Philip Schaff, The Creeds of Christendom, Vol. 1, mukasurat 391, 394, 395), di dalam bab 12, “Berkenaan Hukum Tuhan,” setelah membezakan hukum-hukum “moral” dan “upacara”, mengatakan mengenai hukum-hukum moral, “Kami percaya bahawa seluruh kehendak Tuhan, serta semua petunjuk yang diperlukan, untuk setiap bahagian hidup ini, terkandung sepenuhnya di dalam hukum ini” (bukannya kerana kita dibenarkan olehnya, tetapi bahawa kita akan berpaling kepada Kristus melalui iman). Taip-taip serta bayangan-bayangan hukum upacara itu telah tamat. “Bayangnya berakhir apabila tubuhnya datang,” namun hukum moral itu tidak dibiarkan ataupun ditolak, dan segala ajaran-ajaran yang melawan hukum itu adalah dikutuk (lihat Schaff, Vol. 3, mukasurat 854-856 (penekanan ditambah)).

 

Tiga puluh sembilan Artikel Agama Gereja England (1571). Artikel VII menyatakan bahawa “hukum yang diberikan daripada Tuhan melalui Musa” berkenaan “upacara dan adat istiadat” tidaklah mengikat, [sementara] “tiada seorangpun umat Kristian, yang terlepas daripada menurut Perintah-perintah yang disebut sebagai Moral.” (Lihat Schaff, vol. 3, mukasurat 491, 492).

 

Revisi Amerika Tiga puluh sembilan Artikel oleh Gereja Episcopal Protestan (1801) adalah sama dengan yang di atas. (Lihat Schaff, vol. 3, mukasurat 816).

 

Artikel-artikel Agama Irish (1615), dipercayai telah dikumpulkan oleh Ketua Biskop Ussher, setelah menyebut bahawa hukum upacara itu telah dihapuskan, mengatakan: “Tiada seorangpun umat Kristian yang terlepas daripada penurutan Perintah-perintah yang dipanggil Moral.” (Lihat Schaff, vol. 3, mukasurat 526, 541).

 

Pengakuan Iman Westminster (1647), setelah menunjukkan perbezaan di antara hukum upacara dan hukum moral, serta pembatalan dan pengekalan masing-masing, di dalam bab 19 mengisytiharkan “hukum moral itu mengikat semuanya untuk selamanya,” bukan untuk pembenaran, tetapi sebagai suatu peraturan kehidupan, demi mengesahkan kuasa Kristus yang membenarkan. Hukum ini terus menjadi suatu “peraturan kebenaran yang sempurna.” Dan ia menambah, “Kristus di dalam injil tidak pernah sekalipun membatalkannya, tetapi sebaliknya mengukuhkan tanggungjawab ini.” (Lihat Schaff, vol. 3, mukasurat 640-644).

 

Deklarasi Gereja-gereja Berjemaah Savoy (1658). Tidak ada perubahan di dalam bab 19, “Mengenai Hukum Tuhan,” daripada Pengakuan Westminster itu. (Lihat Schaff, vol. 3, mukasurat 718).

 

Pengakuan Baptist 1688 (Philadelphia), yang berdasarkan pada pengakuan London 1677, tiada perubahannya daripada Pengakuan Westminster di dalam bab 19, “Mengenai Hukum Tuhan.” Ia mengisahkan perbezaan di antara hukum moral dan upacara, dan menekankan bahawa tiada seorangpun umat Kristian yang bebas daripada hukum moral itu. (Lihat Schaff, vol. 3, mukasurat 738).

 

Artikel-artikel Agama Methodist (1784). Dua puluh lima artikel ini, yang dikarang oleh John Wesley untuk umat-umat Methodist Amerika, merupakan sebuah ringkasan Tiga puluh sembilan Artikel Gereja England, dan mendeklarasikan: “Sungguhpun hukum yang diberikan Tuhan melalui Musa, berkenaan upacara dan istiadat, tidak mengikat umat-umat Kristian, dan peraturan-peraturan sivilnya tidak semestinya diikuti, namun tiada sesiapapun umat Kristian yang terlepas daripada penurutan perintah-perintah yang disebut sebagai moral.” (Lihat Schaff, vol. 3, mukasurat 807, 808).

 

Umat-umat Seventh Day Adventist percaya, dalam hal ini, bahawa

 

Posisi yang diambil Seventh Day Adventist berkenaan hubungan mereka kepada Decalogue itu, serta pembezaan mereka antara hukum moral dan upacara, disokong sepenuhnya oleh pegangan-pegangan, artikel-artikel kepercayaan, serta katekisma Protestanisme bersejarah. Konsep bahawa Decalogue telah dibatalkan oleh kematian Kristus merupakan suatu konsep yang agak baru. Jelas sekali ia tidak diajar oleh para pengasas Protestanisme, kerana konsep sebegitu bertentangan sepenuhnya dengan kepercayaan mereka. (SDA Questions On Doctrine, mukasurat 131-134).

 

Hakikat bahawa sesuatu itu dipersetujui para pengasas Protestanisme masih lagi perlu dilihat dengan cermat kerana mereka silap sepenuhnya kerana gagal merujuk lebih jauh daripada Augustine dari Hippo di dalam Reformasi mereka. Dengan itu, para pembaharu ini telah gagal untuk memulihkan ajaran-ajaran asal jemaat.

 

Mereka gagal mendirikan sistem ibadah yang betul menurut Kalendar Tuhan (rujuk karya Kalendar Tuhan [156]) dan mereka kemudiannya gagal menentukan hubungan sebenar Hukum Tuhan dengan Perbezaan di dalam Hukum.

 

Satu kesilapan khusus mereka lakukan adalah mereka gagal memperbetulkan kesilapan Trinitas yang telah dibentuk daripada Sidang-sidang Majlis Constantinople (tahun 381) dan Chalcedon (tahun 451). Kerana itu, reformasi itu telah gagal dan mereka kemudiannya dihalang daripada meneguhkan hari-hari suci dengan perintah dan campur tangan ilahi.

 

Hari-hari suci dan Sabat-sabat telah sengaja ditentang. Itu adalah janji yang Tuhan sendiri telah buat melalui para nabi. Tuhan berbicara melalui nabi Amos dan menyamakan Israel pada hari-hari terakhir seperti satu bakul yang berisi buah musim kemarau (Amos 8:1 dan seterusnya).

 

Hukuman untuk kegagalan menurut Tuhan adalah, hari-hari Sabat dan perayaan-perayaan akan diubah menjadi ratapan. Ini diikuti dengan kebuluran firman Yahovah (Amos 8:11-14). Disebabkan kegagalan untuk memahami sifat Allah Sebenar yang Tunggal (Yohanes 17:3; 1 Yohanes 5:20) umat itu dihukum (Hosea 8:5-9). Sedangkan para iblis sendiripun mengetahui bahawa Allah adalah satu dan mereka bergetar (Yakobus 2:19). Hal-hal besar mengenai hukum Tuhan telah ditulis untuk Israel kerana mereka menganggapnya sesuatu yang asing melalui pelanggaran mereka pada Perintah Pertama dan perluasan dosa mereka di dalam ibadah (Hosea 8:11-12; lihat The Interlinear Bible dan juga karya Hukum dan Perintah Tuhan Pertama [253]).

 

Pertalian antara perayaan-perayaan dan korban-korban itu yang tercatat di dalam Ulangan 12:8-14 telah dihapuskan bersama-sama dengan pertalian antara korban-korban itu dengan Sabat mingguan. Sesiapapun tidak boleh mengaitkan Kalendar yang Suci itu dan perayaan-perayaan serta hukum korban tanpa mengenakan konsep yang sama ke atas semua aspek-aspek lain hukum itu. Kesemua sistem pemerintahan Tuhan telah dibebaskan daripada sistem korban itu termasuklah sistem-sistem hari suci. Paskah itu sendiri telah diperkenalkan sebelum hukum itu diberikan di Sinai. Seluruh proses pengenalan umat-umat pilihan di dalam Kekristianan tertakhluk pada urutan hari suci itu sehinggalah pada Kebangkitan Kedua atau Umum. Ia tidak boleh dibatalkan sehingga Hari Besar Terakhir itu. Setiap perayaan mewakili sebahagian Rencana Tuhan yang masih lagi membentang. Semuanya, melalui definisi sistem penuaian itu, masih lagi beroperasi dan membentang (rujuk karya Perayaan-perayaan Tuhan sepertimana mereka berkait dengan Penciptaan [227]). Hukum itu adalah bayangan hal-hal yang akan datang (Ibrani 10:1). Bayangan tersebut menunjukkan realitinya, ia tidak terasing daripadanya. Bayang tersebut terikat secara khusus kepada korban itu (Ibrani 10:1-10), dan bukannya kepada perayaan-perayaan. Jemaat-jemaat Katolik dan Protestan sama-sama masih memahami bahawa perayaan-perayaan terawal perlu dipelihara. Mereka telah mengelirukan Paskah dengan sistem pagan Easter, dan salah mengira Pentakosta dari Easter, namun mereka tidak mempertikaikan keperluan perayaan-perayaan ini. Disebabkan salahfaham mereka mengenai doktrin kerajaan Tuhan serta penyangkalan terhadap pemulihan fizikal sewaktu Milenium itu, dan Kebangkitan Kedua, mereka tidak memahami ertinya perayaan-perayaan kemudiannya.

 

Makan malam empat belas Nisan yang menjadi Perjamuan Suci telah digabungkan dengan Paskah dan dipelihara di luar kota-kota seperti yang diminta oleh Ulangan 16:6-7 (rujuk karya-karya Hari Paskah [098]; Pertikaian-pertikaian Quartodeciman [277]; Bulan dan Tahun Baru [213]. Oleh itu seluruh tempoh dua puluh empat jam 14 Nisan dan malam 15 Nisan, yang jumlahnya 36 jam, dipelihara di luar kota-kota Israel sebagai satu perayaan. Perjamuan Suci ditetapkan dan dipelihara oleh Kristus. Ia mendahului Paskah, iaitu pada malam empat belas Nisan. Korban Paskah itu, iaitu Kristus, terjadi pada empat belas Nisan dan makan Paskah itu berlangsung pada hari kelima belas. Kedua-dua malam ini harus dipelihara dan di luar kota-kota. Dengan itu, Perjamuan Suci adalah suatu peristiwa tahuan yang terikat kepada Paskah dan Roti Tidak Beragi.

 

Alkitab mengatakan bahawa cacat-cela perayaan-perayaan itu disebabkan mereka yang mengabaikan diri mereka demi mencari keuntungan, menceburkan diri ke dalam kesesatan Bileam, dan binasa seperti di dalam pemberontakan Korah (Yudas 11-12). Dalam kata lain mereka mengajar demi mendapat ganjaran dan mereka mencemari perayaan itu serta pemahaman hukum dan kesaksian itu. Tidak ada terang di dalam mereka (Yesaya 8:20 KJV) atau fajar (RSV). Mereka dua kali mati dan dibuangkan. Orang-orang ini, yang tidak memiliki Roh, menyebabkan pecah-belah pada hari-hari terakhir (Yudas 19). Dengan itu, pemberontakan/penderhakaan Korah merupakan suatu proses menentang firman Tuhan yang berterusan (rujuk karya Golongan Nicolaitan [202]).

 

Kristus mampu menjaga umat pilihan daripada tersandung dan mempersembahkan mereka di hadapan Tuhan Juruselamat kita semua (Yudas 24-25; lihat versi Marshall’s Interlinear RSV). Namun begitu, pecah-belah di dalam badan Kristus dibenarkan wujud agar terlihat nanti siapa yang memiliki kebenaran dan persetujuan Tuhan (1 Korintus 11:19). Hujah bahawa teks Galatia 3:10 menghapuskan perayaan-perayaan itu memperlihatkan suatu kejahilan tentang asal-usul pra-Sinai penciptaan itu dan Sabat-sabat sekali. Pemulihan perayaan-perayaan di bawah ancaman kebuluran adalah suatu tambahan yang perlu bagi permulaan Milenium itu (Zakharia 14:16-19). Kristus tidak mengubah fikirannya. Dia memulihkan perayaan-perayaan itu kerana dia mewajibkan pemeliharaannya.

 

Jemaat-jemaat Allah termasuk Kristus dan Jemaat Kerasulan (Matius 26:17-20; Lukas 2:41,42; 22:15; Yohanes 2:13,23; 5:1; 7:10; 10:22; Kisah 18:21(KJV); 19:21; 20:6,16; 24:11,17) telah memelihara perayaan itu selama dua ribu tahun dengan pengecualian satu Jemaat daripada abad kesembilan belas. Elemen-elemen Jemaat pemelihara Sabat di Eropah yang telah gagal memelihara perintah-perintah itu atau yang telah murtad telah kehilangan perayaan-perayaan itu (lihat karya Peranan Hukum Keempat di dalam Jemaat-jemaat Tuhan Pemelihara Sabat dalam Sejarah [170] dan juga Hukum Tuhan [L1] dan siri karya Hukum [253-261].

 

Seperti Kristus dan Rasul-rasul dan Presbyteri yang lain, Paulus telah memelihara perayaan-perayaan itu seperti yang telah kita lihat daripada buku Kisah. Jadi, dia tidak pernah, dan sememangnya tidak boleh menghapuskan mereka. Bait Suci telah dipilih sebagai bait persembahan korban (2 Tawarikh 7:12), setelah khemah-khemah suci di Hebron dan Silo. Namun perayaan-perayaan itu tidak terikat kepada bait itu. Tuhan memilih Sion untuk kediamanNya (Mazmur 132:13-14), tetapi pilihan tersebut telah digantungkan kerana perantauan Jemaat di dalam gurun belantara sehingga kedatangan Mesias. Tindakan ini dibayangkan oleh empat puluh tahun di bawah naungan tiang api dan awan itu di gurun pasir (bandingkan juga karya Jadual Waktu Ringkasan Segala Zaman [272]). Itu adalah petunjuk khusus bahawa Kristus akan menunjukkan pusat ibadah tersebut melalui umat-umat pilihan. Jemaat di bawah pimpinan para Rasul telah memelihara perayaan-perayaan itu pada tempat-tempat yang berlainan; sungguhpun Paulus berusaha untuk kembali ke Yerusalem untuk perayaan yang disebutkan di dalam Kisah 18:21; 19:21 (lihat KJV; The Interlinear Bible). Kisah 20:6 menunjukkan bahawa Paulus memelihara hari-hari perayaan Roti Tidak Beragi di Filipi, kerana terlambat. Dia kemudiannya cuba untuk berada di Yerusalem bagi Pentakosta (Kisah 20:16). Kedua-dua orang Yahudi dan Kristian telah memelihara perayaan-perayaan tersebut sewaktu zaman mereka terselerak. Perayaan-perayaan itu tidak terikat kepada bait suci. Semuanya telah wujud sebelumnya dan masih wujud selepasnya. Hanya korban itu sahaja yang sentral kepada bait itu. Namun korban itu juga pernah berlaku di tempat lain, sewaktu bait suci masih ada, dan semasa bait itu telah musnah sewaktu penawanan Babilon. Bait suci di Elephantine telah mengambil alih tanggungjawab-tanggungjawab korban itu sehingga bait tersebut dibina semula semasa pemerintahan Darius II. Bait di Elephantine kemudiannya musnah akibat serangan (lihat karya Pritchard The Ancient Near East, vol. I, mukasurat 278-282). Surat-surat Aramaik di dalam karya Pritchard itu, yang diterjemahkan oleh Ginsberg, menunjukkan rekod-rekod arahan semasa Paskah oleh kerajaan yang disebutkan di dalam Ezra (lihat karya Tanda Yunus dan Sejarah Pembangunan Semula Bait Suci [013]). Sumbangan-sumbangan bagi pemulihan bait itu disebutkan, serta keadaan-keadaan dalam mana bait di Elephantine itu dibinasakan pada tahun ke 14 pemerintahan Darius II. Para pemerintah Yehuda juga memiliki kuasa polisi ke atas para imam di Elephantine. Teks-teks menunjukkan bahawa upacara korban tidak pernah terhenti sewaktu tempoh Yerusalem binasa dan bait itu telah dipulihkan kepada Yerusalem sesudah pembinaan semula bait itu di sana. Upacara korban itu dihentikan dengan Perjanjian Baru dan pemusnahan terakhir bait di Yerusalem, namun perayaan-perayaan itu masih berterusan sewaktu zaman penyelerakan itu. Jemaat terus memelihara perayaan-perayaan itu sungguhpun dianiayai selama dua ribu tahun.

 

Satu lagi Bait Suci telah dibina di Mesir di Leontopolis, di dalam Nome Heliopolis oleh Imam Besar Onias IV. Bait ini telah dinubuatkan Tuhan melalui Yesaya di dalam Yesaya 19:19. Ia ditutup oleh perintah Vespasian pada tahun 71 TM setelah pemusnahan bait di Yerusalem dan telah meneruskan upacara korban itu di sana sejak pembinaannya sekitar tahun 160 SM.

 

Umat-umat pilihan diadilik menurut pengetahuan mereka di dalam Allah sebenar yang tunggal. Melalui pengenalan Tuhan ini, maka timbullah pemahaman hukum itu dan ia bertakhta di dalam hati dan fikiran individu tersebut. Isunya di sini bukanlah Sabat, ataupun perayaan-perayaan, ataupun hukum. Ianya hakikat bahawa Allah Bapa adalah Allah sebenar yang satu (Yohanes 17:3; 1 Yohanes 5:20) dan bahawa dia seorang saja yang abadi (1 Timotius 6:16). Jika kamu tidak memegang erat kebenaran ini, kamu akan disingkirkan daripada umat pilihan dan dibiarkan memasuki kesesatan dan percaya pada dusta (2 Tesalonika 2:11). Kitab Marshall’s Interlinear menafsirkan ayat ini sebagai suatu operasi kepalsuan agar mereka percaya pada dusta. Mereka tidak dapat menahan diri mereka lagi. Secara ringkasnya, mereka disingkirkan daripada umat pilihan dan pemahaman mereka ditiadakan. Mereka tidak dapat memahami, sungguhpun mereka ingin melihat kepalsuan itu.

 

Seluruh pemahaman umat-umat pilihan tertakhluk kepada hubungan mereka dengan Allah sebenar yang tunggal dan pengetahuan mereka akan Tuhan dan anakNya Yesus Kristus (Yohanes 17:3; 1 Yohanes 5:20). Pelanggaran perintah pertama itu mengakibatkan perayaan-perayaan itu dilenyapkan. Semuanya tidak dapat dipelihara sungguhpun mereka yang berada di dalam kepalsuan itu ingin memeliharanya. Tuhan akan campur tangan pada waktu jangka panjang. Bagi mereka yang memelihara hukum itu, perayaan-perayaan itu adalah peringatan yang diperlukan mengenai rencana Tuhan. Lebih-lebih lagi, pemulihan mandatori Kristus di bawah sistemnya menunjukkan bahawa perayaan-perayaan itu adalah diwajibkan dan sememangnya suatu rahmat bagi pengikut-pengikutnya.

 

Penyingkiran sepuluh perintah itu daripada kewajipan-kewajipan hukum serta kekeliruan mereka dengan hukum korban yang juga dipanggil hukum upacara, terbit daripada kejahilan yang sangat ketara terhadap ajaran-ajaran Kristus dan para rasul, sehinggakan para pembaharu Protestan sendiripun tidak tersandung ke dalam kepalsuan itu. Ianya suatu ciri kelemahan rohani, kepalsuan dan kegagalan Jemaat pada hari-hari terakhir. Kelemahan ini dilihat di dalam janji-janji kepada Jemaat-jemaat di dalam Wahyu bab 2 dan 3 di mana Jemaat Sardis telah mati sementara Jemaat Laodikia dimuntahkan keluar. Kedua-dua Jemaat ini tidak memasuki kerajaan Tuhan. Hanya sebilangan kecil daripada anggota-anggota mereka yang akan memasuki kebangkitan pertama itu.

 

Benih perempuan itu iaitu jemaat adalah mereka yang memelihara Perintah-perintah Tuhan serta kesaksian atau iman Yesus Kristus (Wahyu 12:17; 14:12). Lihat juga karya Kasih dan Struktur Hukum [200]).

 

q