Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[078]

 

 

 

 

Bagaimana Menentukan Hari Konjungsi Seterusnya Dengan Mudah

(Edisi 1.0 20020315-20041023)

 

Masyarakat Islam moden dan masyarakat Yahudi dahulunya telah cuba menentukan waktu tatkala bulan sabit pertama dapat dilihat. Dengan senarai-senarai purba saksi-saksi yang dipersetujui, didapati sukar untuk meramalkan hari berkenaan dan membuatkan penerbitan Kalendar Lunar sesuatu yang mustahil. Malah dengan peralatan moden dan perhitungan cepat yang tersedia, mengetahui secara tetap waktu apabila bulan sabit pertama dapat dilihat terbukti mustahil. Konjungsi tidak dapat dilihat. Bagaimanapun, dengan memperolehi bilangan sentimeter yang memisahkan Matahari dan Bulan pada waktu matahari terbit serta mengkalikan nombor ini kali dua, sesiapapun boleh menentukan waktu dan hari konjungsi seterusnya dengan mudah.

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 2002, 2004 James Dailley)

(Tr. 2006)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


 

Bagaimana Menentukan Hari Konjungsi Seterusnya Dengan Mudah



Kitar Astronomi Tabii

Manusia Sejagat harus menyembah Allah Maha Esa, Bapa kita, Eloah, pada hari-hari yang dikhususkan oleh kitar astronomi tabii. Hari bertempoh dua puluh empat jam, atau satu perputaran solar, adalah dari waktu gelap, atau akhir waktu senja nautika petang, hingga waktu gelap masa tempatan kita (Kejadian 1:5; Mazmur 104:20). (Lihat karya Permulaan Bulan dan Hari (No. 203)).

 

Hari-hari Bulan Baru jatuh pada waktu konjungsi matahari, bulan dan bumi. Hari-hari ini ialah hari-hari Sabat. Hari pertama bulan pertama menentukan, atau menetapkan tiga Perayaan tahunan dengan Hari-hari Kudus yang menyertai, sebagai waktu yang dikhususkan atau dijadikan Suci setiap tahun, untuk ibadat. (Lihat karya-karya Bulan-bulan Baru (No. 125); Bulan-bulan Baru Israel (No. 132); Soalan-soalan Lazim: Bulan-bulan Baru (No. 158)).

 

Tahun bermula pada musim bunga hemisfera utara (Keluaran 12:2), dengan penentuan atau penetapan hari pertama bulan pertama daripada konjungsi, ketika waktu Yerusalem (Yesaya 2:3).

 

Bulan yang merupakan bulan pertama dalam tahun, ialah bulan yang hari ke 15-nya menyusuli ekuinoks vernal (musim bunga). Hari ini ialah hari Paskah, yang dikategorikan sebagai bulan purnama (bulan penuh). (Lihat karya Kalendar Tuhan (No. 156)).

 

Ramai orang akan berkata bahawa kita memerlukan kebolehan matematik yang khusus untuk berkemampuan menentukan bila konjungsi-konjungsi itu akan berlaku. Semua orang yang boleh menghitung kali 2 dan membahagi dengan 24 boleh menentukan hari dan jam konjungsi seterusnya – dengan mudah!

 

Konjungsi

Kita akan berbincang di bawah tentang konjungsi matahari dan bulan dan bumi. Dalam astronomi, konjungsi (atau berhubungan), bererti apabila berlaku pertemuan dua atau lebih jasad angkasa pada garis bujur atau peningkatan kanan yang sama.

 

Ini dipanggil ‘bulan baru’, tatkala bulan berada di antara bumi dan matahari, dan dipanggil ‘bulan purnama’, tatkala bumi berada di antara matahari dan bulan. Ini patut jelas daripada gambar-gambar di bawah. Bulan baru tidak dapat dilihat ketika bulan purnama memantulkan sepenuhnya cahaya pantulan matahari.

 

 

Walaupun ukuran-ukuran di atas tidak betul, gambar di atas menunjukkan bahawa pada konjungsi, matahari, bulan dan bumi seolah-olah berada pada satu garis geometrik dengan pusat-pusatnya ditembusi. Semuanya berada pada garis bujur yang sama dan kita mengabaikan garis lintangnya. Pada hakikatnya, pada waktu bulan baru, pusat-pusat matahari, bulan dan bumi tersusun hingga hampir sejajar tetapi bukan setiap bulan kalau tidak kita akan mengalami gerhana setiap bulan. Justeru bulan baru adalah titik kesejajaran terdekat.

 

Waktu konjungsi merupakan waktu tepat di semua tempat di atas planet ini, menurut zon masa tempatan kita. Oleh itu, ia akan berada dalam tempoh dua hari dengan menggunakan masa tempatan. Inilah sebabnya kenapa hari yang dikhususkan atau dikuduskan ialah hari tatkala peristiwa ini terjadi dalam rangka waktu Yerusalem.

 

Philo dari Alexandria [diterjemah oleh F H Colson (Harvard University Press, Loeb Classical Library, Cambridge, MA, 1937); The Special Laws, II, XI,41] menulis: “[Perayaan] ketiga ialah bulan baru yang menyusuli konjungsi bulan dengan matahari”. Dalam II, XXVI,140: “Inilah Bulan Baru, atau permulaan bulan lunar, iaitu waktu antara satu konjungsi dan konjungsi seterusnya, dan panjangnya telah dihitung dengan tepat dalam sekolah-sekolah astronomi”.

 

Harus diperhatikan bahawa edisi Hendrickson Publisher (1993) yang terkenal bagi terjemahan 1854 C D Jonge, tidak mempunyai informasi sama yang diberikan terjemahan Colson itu.

 

Philo merupakan seorang ahli sejarah Yahudi yang menulis pada zaman Kristus. Seperti yang kita dapat lihat, konjungsi-konjungsi itu dinyatakan sebagai faktor-faktor penentu dalam menentukan hari pertama bulan, dan bukan bulan sabit. Perhatikan bahawa pada zaman Kristus panjang waktu ini dihitung dengan tepat dalam sekolah-sekolah astronomi.

 

Buku Maimonides, “Sanctification of the New Moon”, (Buku Ketiga, Treatise 8, mukasurat 89, bab 6) yang ditulis sekitar 1200 CE, menyatakan:

“molad didefinisikan sebagai ‘waktu tatkala matahari dan bulan, dalam pergerakan seragam masing-masing, bergabungan pada tempat tertentu di langit, yang terjadi dengan cara yang sama di semua tempat – berbeza dengan pelbagai waktu tatkala bulan sabit mula-mula kelihatan – di tempat-tempat berlainan’.”

 

Pernyataan ini juga mendefinisikan konjungsi. Pada waktu yang sama Judaisme, secara umumnya, tidak dan pada hari ini tidak memelihara Bulan Baru sebagai Hari Kudus Sabat. Mereka dan Islam, cuba memulakan bulan dengan pemerhatian bulan sabit.

 

Konjungsi lunisolar ini boleh berlaku pada bila-bila masa ketika putaran solar dua puluh empat jam bumi. Seperti yang dinyatakan Maimonides ia berlaku dengan cara yang sama, pada waktu yang sama, di semua tempat di atas planet ini.

 

Waktu peristiwa ini berlaku ketika zon waktu dua puluh empat jam Yerusalem mengkhususkan Hari Bulan Baru itu pada konjungsi sebagai suatu hari Sabat (Amos 8:5; Yesaya 66:20-23; Yehezkiel 46:3; Mazmur 81:3; Kolose 2:16).

 

Kajian ini penting supaya semua orang dapat belajar menentukan dengan mudah sebarang Hari Kudus Bulan Baru yang akan datang, jika waktu-waktu yang diterbitkan tidak boleh didapati.

 

Ketepatan dengan apa peristiwa ini dapat diramalkan, membolehkan semua masyarakat pelaut dan tentera laut untuk mengukur pemergian dan kedatangan mereka. Ini penting bagi mereka sebab kitar bulan mengawal pasang surut lautan.

 

Di seluruh dunia, konjungsi adalah pada hari yang memulakan bulan astronomi yang baru.

 

Hakikatnya kita sedang keluar daripada zaman kegelapan hasil pengaruh Trinitarian. Para penyokong Kekristianan Trinitarian telah sengaja melenyapkan kebanyakan pengetahuan yang dimiliki orang sejak zaman dahulukala.

 

Buku, Maps of the Ancient Sea Kings, 1966, oleh Charles Hapgood, merupakan rujukan yang berguna. Ia menunjukkan dan menjelaskan banyak daripada peta dan rekod purba dari Alexandria. Ia menjelaskan pengetahuan geografi luas yang terperinci, dan pemahaman navigasi, yang dimiliki orang dahulukala.

 

Semua suku pelaut dan penangkap ikan di semua tempat di bumi ini telah memahami pewaktuan luni-solar ini dan hubungan air pasang dengan peredaran bulan. Hanya baru-baru ini saja manusia secara umumnya telah mengabaikan pengetahuan ini yang juga perlu untuk perjalanan.

 

Kitar Lunar

Peredaran harian bulan mengelilingi bumi mengambil masa 24 jam dan 50 minit. Ini menyebabkan lautan naik dan turun pada waktu-waktu yang agak tetap. Secara puratanya, tempoh antara dua waktu air pasang yang berturut-turut ialah 12 jam dan 25 minit, atau separuh daripada waktu untuk bulan mengelilingi bumi. Air pasang lautan terutamanya disebabkan oleh tarikan graviti bulan.

 

Pada waktu konjungsi, bulan berbaris dengan matahari dari luar pandangan mata kita di bumi. Kita melihat bahagian gelap bulan, atau sebenarnya kita tidak melihat bulan sama sekali oleh sebab keterangan ekstrim matahari yang terangnya melampaui bulan yang amat suram.

 

Bulan baru berlaku apabila garis-garis bujur bulan dan matahari berbeza sebanyak 0°.

 

Sementara bulan bergerak ke arah timur menjauhi matahari di langit, kita melihat lebih banyak bahagiannya yang disinari matahari setiap malam. Jadi beberapa hari selepas bulan baru kita dapat melihat bulan sabit yang nipis di langit barat pada waktu malam. Pada takat ini, dan untuk beberapa malam berikutnya, kita dapat menyaksikan bahagian gelap bulan disinari sedikit oleh cahaya matahari yang terpantul dari bumi.

 

Bulan perempat (kuarter) pertama ialah bulan sabit yang terus membesar, atau bertambah gemuk. Apabila separuh daripada cakera bulan diterangi kita katakan bulan telah mencapai fasa kuarter pertamanya. Istilah ini datang daripada fakta bahawa bulan sudah seperempat perjalanannya melalui lunasi.

 

Pada kuarter pertama, bulan berada 90 darjah di timur matahari di sepanjang litar matahari, jadi kita menyaksikan bahagian bulan yang disinari matahari dari satu sudut. Pada waktu ini, 50% daripada permukaan bulan yang kelihatan diterangi. Oleh sebab ia berada 90 darjah dari matahari, bulan kuarter pertama ini terbenam kira-kira pada tengah waktu malam.

 

Bulan cembung (gibbous) yang kian membesar ini terus membesar (bertambah gemuk), namun ia bukan lagi bulan sabit. Ketika ini selepas kuarter pertama, kita katakan kita ada bulan gibbous.

 

Bulan purnama berada bertentangan matahari di langit dan kita melihat semua bahagian bulan yang diterangi matahari. Bulan purnama berada 180 darjah keliling litar matahari dari matahari di langit. Waktu ini 100% daripada permukaan bulan yang kelihatan disinari.

 

Ia terbit hampir tepat ketika matahari terbenam, dan terbenam hampir ketika matahari terbit pagi berikutnya.

 

Separuh kedua peredaran bulan adalah terbalik daripada separuh pertama. Kini bulan menyusut, atau semakin mengurang, dan ia sekali lagi digambarkan sebagai gibbous.

 

Bulan gibbous menyusut merupakan separuh kedua peredaran bulan, dan ia terbalik daripada separuh pertama. Setiap malam ia terbit semakin lewat, selepas matahari terbenam.

 

Bulan kuarter ketiga ialah tiga perempat peredaran mengelilinginya, dan bulan sekali lagi menunjukkan kita suatu bahagian cakeranya diterangi dan bahagian satu lagi dalam kegelapan. Bagaimanapun, bahagian yang kita lihat diterangi sekarang ialah bahagian yang dalam kegelapan pada fasa kuarter pertama. Kuarter akhir berlaku apabila garis-garis bujur bulan dan matahari berbeza sebanyak 270°. Ketika ini, 50% daripada permukaan bulan yang kelihatan diterangi.

 

Bulan terbit sekitar tengah malam, dan melintasi meridian tempatan sekitar waktu matahari terbit. Tatkala ia menghampiri waktu bulan baru, fasa bulan ialah bulan sabit menyusut, sehingga kita sama sekali tidak dapat melihatnya. Ia kemudiannya menjadi bulan baru dan mengulangi kitar itu.

 

Kita tidak akan banyak melihat bulan sabit terakhir selepas kira-kira 28 hari. Kita jarang terlihat bulan sabit yang baru sebelum usianya lebih daripada 24 jam.

 

Bagaimana untuk Mengkalibrasi Pita Pengukur

Kita harus memegang pita pengukur sejauh panjang lengan, betul-betul di hadapan muka kita. Khususnya, jarak antara mata kita dan penggaris yang sejauh panjang lengan itu ialah kira-kira 60 sentimeter untuk orang dewasa biasa.

 

 

 

Untuk mengkalibrasikan pita pengukur itu untuk saiz tubuh kita, kita berdiri menghadap dinding dan ukur 60 sm antara mata kita dan dinding. Jika kita mempunyai lengan panjang atau pendek kita akan perlu membuat penyesuaian kerana pengukur ini penting untuk mengukur darjah dan dengan itu waktu dari satu jarak; jarak matahari dan bulan dalam kasus kita.

 

Pada jarak itu, divisi satu sentimeter pada penggaris akan mewakili sudut 1/60 radian. Oleh sebab satu darjah sama dengan 1/57.295 radian, sudut yang tercangkum oleh benda berukuran 1 sm pada jarak lengan merupakan taksiran yang boleh diterima sebagai satu darjah astronomi. Sebagai contoh, diameter (garis tengah) bulan purnama kelihatan kira-kira 0.5 sm apabila dipandang dengan penggaris yang dipegang sejauh jarak lengan.

 

 

 

Pegang pita pengukur pada dinding dengan dua tangan pada jarak 60 sm ini. Betulkan tangan, lengan, bahu, pinggul dan leher supaya kita dapat menyentuh dinding secara rata dengan pita itu namun mata kita masih kekal pada jarak 60 sm asal. Ingat kedudukan ini untuk ketepatan apabila melakukan pengukuran antara matahari terbit dan bulan sabit menyusut.

 

Sudut-sudut boleh dianggar untuk mendapat taksiran yang boleh diterima dengan memegang penggaris pada jarak lengan, atau dengan menggunakan tangan sendiri.

 

Buku lima yang dikepal (tidak termasuk ibu jari) merentang kira-kira 10 darjah sementara tangan yang terbuka sepenuhnya merentang kira-kira 20 darjah, dari hujung ibu jari ke hujung jari kelingking. Untuk sudut-sudut yang lebih kecil kita boleh menggunakan garis panduan lain. Sebagai contoh, pada jarak lengan lebar jari terkecil kita adalah lebih kurang satu darjah. Lebar ibu jari yang menghadap kita adalah kira-kira dua darjah dan pada sisinya adalah satu darjah, dan jarak dari hujung ibu jari kita ke sendi pertamanya adalah kira-kira tiga darjah.

 

Walaupun tangan dan lengan semua orang berlainan, dan ini semestinya, masih cukup mudah untuk mengambil ukuran-ukuran panjang lengan, jengkal tangan dan seterusnya, dan untuk mengkalibrasi panduan-panduan asli kita sendiri untuk membantu kita menaksir sudut-sudut di angkasa.

 

Disadur daripada artikel di dalam majalah (British) Astronomy oleh Iain Nicolson.

 

Gambar-gambar di bawah akan membantu kita memahami konsep yang dibincangkan.

 

Ingat, satu sentimeter sama dengan satu darjah pergerakan astronomi.

 

Pergerakan astronomi bulan ini mengambil masa hampir dua jam.

 

 

 

Di hemisfera utara Bintang Utara, Polaris, sentiasa sebaris dengan dua bintang pada bahagian luar bintang biduk (big dipper). Ini merupakan utara sejati dan ini boleh dilihat dalam gambar di bawah, dan dengan sedikit latihan boleh ditemui dengan mudah.

 

 

Untuk tinjauan kita, jika sudutnya ditunjukkan dengan darjah, antara matahari pada waktu terbit dan bulan pada mana-mana hari dalam kuarter terakhirnya digunakan dan bukan Polaris dan Merak, konsepnya dapat difahami dengan mudah.

 

Bagaimana untuk Menentukan Harinya

Untuk keperluan kita, kita akan menggunakan satu meter, pita ukuran (100 sentimeter), sebab ia murah dan mudah dibawa. Penggunaannya tidak memerlukan banyak latihan, hanya cuaca baik dan daya penglihatan yang baik.

 

Ketika matahari naik, ambil ukuran dalam sentimeter antara pusat matahari dan pusat bulan sabit menyusut. Catatkan harinya, dan waktu tempatan yang betul hingga minitnya serta bilangan sentimeter yang didapati.

 

 

Bulan bergerak hampir .5 sm setiap jam, jadi kita kali bilangan sentimeter yang ditunjukkan dengan 2. Ukuran ini akan memberi kita lebih kurang bilangan jam yang harus diubah kepada bilangan hari sehingga konjungsi seterusnya.

 

Kita melakukannya dengan membahagikan bilangan sentimeter di atas dengan 24 jam untuk menghasilkan hari-hari lengkap. Kemudian jumlahkan jam-jam yang tinggal dan kita akan tahu hari tempatan yang mana dan lebih kurang waktu tempatan berlakunya Bulan Baru lunar yang seterusnya.

 

Ukuran ini boleh dibuat bila-bila masa selepas bulan purnama, tetapi kuarter ketiga dengan 7.4 hari lagi sebelum konjungsi adalah paling mudah.

 

7.4 hari sama dengan 177 jam dan 36 minit. Tujuh hari lengkap ialah 168 jam dan .4 daripada 24 jam ialah 9 jam dan 36 minit.

 

Ukuran ini memberi kita bilangan jam yang harus diubah kepada bilangan hari sehingga konjungsi seterusnya dalam waktu tempatan kita. Jika ini menaksirkan konjungsi hampir waktu gelap di Yerusalem, maka lakukan perhitungan di bawah, iaitu bahagikan dengan .51°, untuk mendapat hasil yang lebih tepat.

 

Untuk kebanyakan hari, kali dengan 2 sudah cukup.

 

Bulan bergerak secara relatif kepada matahari menurut satu jumlah yang hampir sama dengan diameter (garis tengah) bulan setiap jam, yang sama dengan .51° atau .5 sm itu. Ini hampir menyamai pergerakan 12.2° setiap hari berdua puluh empat jam, untuk perjalanan bulanan.

 

Penggunaan pita ukuran dalam sentimeter menghasilkan perkiraan yang amat tepat, namun penggunaan jari-jari kitapun akan memberikan taksiran yang amat hampir.

 

Membahagi dengan kadar perubahan .51° setiap jam akan memberikan hasil yang lebih tepat. Ia sedikit kurang (satu atau dua jam kurang) daripada hanya membahagi dengan dua. Jika membahagi dengan dua menempatkan konjungsi hampir akhir hari dekat waktu gelap atau EENT, maka lakukan perkiraan itu untuk mendapatkan hasil lebih tepat yang diperlukan.

 

Kadar perubahan setiap jam akan sama dengan waktu konjungsi masa hadapan, dalam jam, dari waktu kita mengambil ukuran-ukuran kita.

 

Kita harus menyesuaikan waktu tempatan konjungsi ini dengan waktu Yerusalem dan menyesuaikan harinya jika diperlukan.

 

Ini dilakukan supaya semua Jemaat Tuhan sekarang ini, dan akhir nanti manusia seluruhnya, memelihara hari ibadat yang seragam di planet bulat ini.

 

 

 

Gambar di atas ialah gambar bulan sabit pada April 14 2004 pada waktu tempatan 06:46 di Ontario Selatan, Kanada. Waktu matahari terbit adalah pada 06:40 dengan penambahan penjimatan waktu siang, yang telah bermula pada April 4 pada 2.00 AM. Ini merupakan hari 24 kitar itu, dengan bulan sabit menyusut dalam fasa kuarter ketiga.

 

Bulan purnama berlaku pada April 5 pada 06:03 AM waktu tempatan. Selepas gelap, pada malam April 4 merupakan hari ke 15 bulan pertama. Ini ialah Malam Berjaga-jaga atau malam Jamuan Paskah sebenar. Masa untuk bulan kuarter terakhir adalah pada April 11 pada 10:46 malam, dan bulan menjadi baru pada 08:21 AM waktu tempatan pada April 19, 2004.

 

Peristiwa ini terjadi pada 13:21 GMT, iaitu 15:21 atau 3:21 PM dalam zon waktu Yerusalem. Ini adalah perbezaan waktu tujuh jam daripada waktu tempatan namun betul-betul pada hari yang sama dalam minggu.

 

Informasi lunar diterbitkan oleh http://aa.usno.navy.mil/data/docs/MoonPhase.html#y2004

 

Ukuran pada pita ditaksir sebagai 62 sentimeter. 62 x 2 akan memberikan 124 jam. 124 dibahagikan dengan 24 (jam) ialah 120 jam untuk lima hari lengkap dengan 4 jam lagi. Empat jam ditambah kepada 06:46 memberikan taksiran 10:46 pada April 19 untuk perhitungan waktu tempatan konjungsi. Ini adalah 2 jam 25 minit lebih lewat daripada waktu yang diterbitkan namun memang masih di dalam hari yang betul.

 

Kalau kita memerlukan waktu yang lebih tepat maka kita bahagikan 62 dengan .51. Ini memberikan 121.6 jam. Ini bererti kita tambah 1 jam 36 minit kepada 06:46 dan mendapat 08:22, atau satu minit lewat berbanding waktu-waktu konjungsi akan datang yang diterbitkan.

 

 

 

Gambar-gambar matahari dan bulan sabit di atas diperjelaskan agar dapat dilihat dengan lebih mudah.

 

Lebih besar jarak sudut antara Bulan dan Matahari, lebih banyak bahagian Bulan yang diterangi dapat dilihat. Bulan sabit yang amat nipis menunjukkan bahawa tinggal beberapa hari lagi sebelum Bulan Baru.

 

Latar belakang

Ukuran sudut bermakna sebarang ukuran perpisahan dua objek sebagaimana yang dilihat dari satu titik tertentu. Ini dinyatakan dalam unit sudut (darjah, minit lengkung, atau saat lengkung).

 

Ukuran-ukuran sudut digunakan oleh para pemerhati astronomi untuk menggambarkan kedudukan objek-objek cakerawala di langit. Untuk tujuan kita objek-objek ini ialah Matahari dan Bulan, dan perpisahan sudut mereka sebagaimana dipandang dari bumi ketika kuarter terakhir bulan. Ini diukur dalam darjah perpisahan.

 

Bila jarak sudutnya kurang daripada 90° perpisahan, kita akan melihat kurang daripada separuh bahagian Bulan yang diterangi. Ia akan kelihatan seperti sekerat cahaya yang melengkung dan dipanggil fasa bulan sabit menyusut.

 

Bilangan darjah-darjah ini antara matahari yang naik dan bulan yang menyusut sama dengan tempoh waktu dalam jam sehingga konjungsi yang akan datang.

 

Untuk taksiran-taksiran kasar yang digunakan untuk mengira waktu yang tinggal sehingga konjungsi seterusnya, peraturan-peraturannya yang diterima luas adalah sangat mudah. Ia juga amat tepat dalam menaksir hari konjungsi berikutnya.

 

Sementara lebih banyak masa diluangkan untuk memerhati pergerakan bulan di langit, seperti yang dilakukan orang dahulukala, kita akan menjadi biasa dnegan kitar-kitar pergerakan bulan yang berlainan. Kita akan kemudiannya dapat mengetahui dengan lebih tepat pada titik-titik manakah dalam kitar-kitarnya bulan bergerak lebih cepat atau lebih perlahan daripada purata 29.53 hari sebulan.

 

Kita akan gunakan angka-angka yang diubah suai ini untuk mendapatkan waktu konjungsi yang sangat tepat, sebagaimana yang dapat dicapai oleh orang dahulukala.

 

Matematik mudah, iaitu membahagi dengan .51, akan hanya diperlukan apabila waktu konjungsi hampir dengan waktu gelap, pada akhir waktu senja nautika malam, EENT.

 

Waktu selainnya kita hanya perlu mengalikan perpisahan sudut itu dengan dua.

 

Dahulu, Aristarchus juga menentukan sudut antara Bulan fasa kuarter dan Matahari.

 

Aristarchus dari Samos

Aristarchus dari Samos (sekitar 310 BC) dalam bukunya “On the Sizes and Distances of the Sun and Moon” cuba menentukan jarak relatif antara Bumi dan Matahari dengan memperhatikan daripada geometri mudah bahawa Bumi-Bulan-Matahari membentuk suatu segitiga kanan dengan puncak sudut 90 darjah pada kedudukan Bulan apabila bulan berada pada fasa kuarter (1/2 daripada cakeranya diterangi oleh Matahari).

 

Ini bermakna bahawa jika kamu dapat mengukur sudut Bulan-Bumi-Matahari, kamu dapat menghitung apakah panjang relatif hipotenus segitiga ini antara Bumi dan Matahari, menurut panjang jarak Bumi-Bulan. Masalahnya adalah sudut ini amat hampir kepada 90 darjah malah kira-kira 89 darjah. Kesilapan 1 darjahpun pada segitiga kecil begitu menghasilkan kesilapan yang besar.

 

Jadi bagaimanakah Aristarchus mengukur sudut ini?

 

Dia cuba mengukur jarak waktu antara Bulan-bulan kuarter pertama dan ketiga, dan mengira perbezaannya yang dengan geometri keadaannya akan memberikan dua kali ganda sudut Bulan-Bumi-Matahari.

 

Masalahnya adalah walaupun ini berhasil secara prinsip, peredaran Bulan tidak bundar dan Bulan tidak bergerak dengan kelajuan tetap.

 

Faktor-faktor ini menyebabkan Aristotle mendapat jarak 18-20 kali jarak Bumi-Bulan sebagai jarak ke Matahari dan bukannya (93 juta/240,000) = 3900.

 

1997 Dr. Sten Odenwald

 

Menaksir Sudut dengan Mata

Seperti yang dilihat di atas daripada usaha Aristarchus dari Samos, ukuran sudut telah digunakan dahulukala dan difahami serta diguna semua.

 

Hari ini ia digunakan oleh ahli-ahli astronomi serta pelayaran.

 

Jika Aristarchus mempunyai alat-alat pengukur yang lebih tepat dia pastinya telah mendapat perhitungan yang lebih dekat, namun contoh ini menunjukkan bahawa konsep ini diketahui.

 

Semua orang sekurang-kurangnya biasa dengan jam matahari (sundial). Mungkin jam paling tepat daripada semua jenis jam matahari dahulu ialah jam ‘bintang’. Ini dipanggil jam Malam (Nocturnal dial).

 

Jam-jam ini digunakan seawal abad ke 15 oleh ahli-ahli pelayaran, yang menunjukkan waktu menurut kedudukan bintang-bintang, serta menurut pergerakan matahari dan bulan.

 

Jam Malam ini bertindak baik sekali di hemisfera utara kerana ia berdasarkan Bintang Utara, yang dipanggil Polaris.

 

Polaris berada hampir pada paksi miring bumi dan sentiasa muncul pada kedudukan yang sama di langit.

 

Bintang biduk berputar mengikut bulatan lengkap di sekeliling bintang utara, Polaris. Oleh itu, bila-bila saja kita mencari Bintang Utara, bintang biduk, dalam apa sekalipun kedudukannya di langit, akan menunjuk tepat kepada Polaris.

 

Ini dilakukan dengan menggunakan dua bintang luar mangkuk bintang biduk ini, Merak dan Dubhe, dan menjajarkan bintang-bintang ini dengan Bintang Utara.

 

Ini tidak banyak membantu bagi orang yang tinggal di hemisfera selatan tetapi ini menyatakan perkara ini dengan cukup baik.

 

Penjajaran yang ditunjukkan dalam alat di bawah harus diertikan menurut waktu tempatan kita.

 

 

 

Sudut-sudut Matahari, Bumi dan Bulan

Satu cara untuk memetakan tingkah laku Bulan adalah dengan memetakan kedudukannya berbanding Matahari dan Bumi. Secara khusus, kita dapat mengukur sudut antara Bulan dan Matahari, dengan Bumi sebagai puncak sudut itu. Pada waktu apabila kedua-dua Bulan dan Matahari kelihatan, kita dapat mengukur sudut antara Bulan dan Matahari dari kedudukan pemerhatian kita. Setiap kali kita mengukur dan mencatatkan sudut itu, kita juga harus memerhati dan mencatatkan bentuk (fasa) Bulan, dan memperhatikan sama ada bahagian Bulan yang diterangi atau yang tidak adalah yang terdekat Matahari.

 

Umur-umur ketika fasa-fasa kitar lunar menunjukkan bahawa suatu kitar lengkap mengambil masa kira-kira 29.53 hari. Bulan sinod dan umur bulan dalam mana-mana fasa akan sentiasa kurang daripada 30 hari.

 

Kuarter pertama dapat disamakan dengan kira-kira 7.4 hari, bulan purnama kira-kira 14.8 hari, dan kuarter ketiga kira-kira 22.1 hari. Ini meninggalkan kira-kira 7.4 hari sehingga konjungsi.

 

7.4 hari ialah tujuh hari dan .4 x 24 = 9.6 jam dan .6 x 60 = 36 minit. Ini menunjukkan bahawa dari kuarter ketiga terdapat 7 hari 9 jam dan 36 minit sehingga konjungsi seterusnya.

 

Beberapa Definisi

Ketinggian (Altitud) ialah ukuran, dalam darjah, perpisahan sudut sebuah objek angkasa dari kaki langit.

 

Azimut ialah ukuran, dalam darjah, kedudukan sebuah objek angkasa sekeliling kaki langit dari Utara.

 

EENT ialah akhir waktu senja nautika petang.

 

Elips ialah bentuk bujur biasa, terbentuk oleh satu titik yang bergerak dalam satu permukaan agar jumlah jarak-jaraknya dari dua titik lain adalah tetap.

 

Kaki langit (Ufuk) ialah bulatan di sekeliling seorang pemerhati di mana langit dan bumi bertemu. Sebuah objek angkasa akan hanya dapat dilihat jika ia berada di sebelah atas kaki langit.

 

Latitud (Garis lintang) ialah jarak sudut sesuatu tempat di utara atau selatan garis khatulistiwa bumi, atau khatulistiwa sebuah objek angkasa, dan biasanya dinyatakan dalam darjah dan minit.

 

Longitud (Garis bujur) ialah jarak sudut sesuatu tempat di timur atau barat meridian (garis bujur) Greenwich, atau di barat meridian standard sebuah objek angkasa, dan biasanya dinyatakan dalam darjah dan minit.

 

Lunasi (Lunation) ialah satu lagi istilah untuk bulan lunar.

 

Meridian ialah garis merentas langit yang bertemu kaki langit di utara pemerhati, memanjang melalui meridian dan bertemu kaki langit sekali lagi pada suatu titik di selatan pemerhati.

 

Radian ialah unit sudut, dan sama dengan sudut pada pusat sebuah bulatan yang lengkungnya sama panjang dengan radius.

 

Zenith ialah titik di langit betul-betul di atas kepala pemerhati.

 

Penerapan Praktik

 

 

Ketika matahari naik, gunakan pita ukuran 100 sentimeter untuk mengambil ukuran dalam sentimeter antara pusat matahari pada waktu terbit dan pusat bulan sabit menyusut di tenggara.

 

Catatkan hari dan waktu tempatan yang betul hingga minitnya serta bilangan sentimeter yang ditunjukkan.

 

Gandakan bilangan sentimeter kali dua untuk mendapatkan anggaran bilangan jam sehingga konjungsi seterusnya dalam waktu tempatan. Ukuran ini akan memberikan kita anggaran bilangan jam yang harus diubah kepada bilangan hari, sehingga konjungsi berikutnya.

 

Bahagikan bilangan jam dengan 24 untuk mendapatkan hari-hari lengkap yang tinggal. Kemudian jumlahkan jam-jam selebihnya dan kita akan tahu hari tempatan dan anggaran waktu tempatan berlakunya Bulan Baru lunar yang berikut.

 

Ubah waktu tempatan ini kepada waktu Yerusalem dan kita akan tahu hari manakah hari Bulan Baru Sabat yang akan datang.

 

Penghargaan: Terima kasih kepada Norman Gray untuk ilustrasi, yang tujuannya hanya untuk pemahaman, dan kepada Kirk Woodside untuk pengertiannya.

 

q